Rabu, 20 April 2011

SEJARAH HIDUP TUNKU ABDUL RAHMAN PM 1

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah

merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan satu daripada pencapaiannya yang teragung. Beliau juga dikenang sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ dan ‘Bapa Malaysia’.
Beliau dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya bernama Menjelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang bukan berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand.
Tunku Abdul Rahman memulakan pendidikannya pada 1909 di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Antara guru beliau ialah Mohamad bin Iskandar (bapa Tun Dr. Mahathir Mohamad). Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Pada tahun 1915, Tunku pulang ke Tanah Melayu dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School.

Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St. Catherine di Cambridge, England. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di England di bawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St. Catherine kerana dasar Aparteid masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf. Semasa di England, beliau bersama-sama Tuanku Abdul Rahman (Yang di-Pertuan Agong yang pertama) telah menubuhkan Malay Society of Great Britain dan Tunku Abdul Rahman menjadi setiausaha pertama.
Pada awalnya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak (Tan Sri), beliau memperoleh ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani di samping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.

Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam dan dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku kemudian berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Kerabat diraja Kedah dilarang berkahwin dengan wanita Inggeris kerana peristiwa penipuan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light.
Rodziah ( Isteri Tunku)
Tunku dititahkan untuk menceraikan Violet. Tunku kemudiannya berkahwin dengan Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Oleh sebab perkahwinan ini tidak menghasilkan zuriat, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam.
Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al-Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Setar. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabenor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Setar.
Tunku Abdul Rahman menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Tun Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Ketika itu, Tunku menyertai Persatuan Pelajar India Islam yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Llyod George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku kemudiannya menjadi peguam pada tahun 1949.
Selepas kepulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Setar. Beliau kemudian meminta supaya dipindahkan ke Kuala Lumpur. Beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Semangat nasionalisme bertambah hebat dalam kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Dato’ Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentang Malayan Union dan Tunku menyertai parti tersebut. Pada Ogos 1951, setelah cadangan Dato’ Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu ditentang, yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti, maka Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.
Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 selepas Perang Dunia Kedua merupakan sebuah gabungan negeri-negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya. Pihak Inggeris secara diam-diam telah merancang penubuhan Malayan Union seawal 1942 lagi iaitu ketika Tanah Melayu berada di tangan Jepun. Apabila mereka mengambil semula tampuk pemerintahan Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua (1942-1945), corak pentadbiran British adalah ala-ketenteraan. Untuk menggantikan pentadbiran seperti ini, British bercadang menubuhkan Malayan Union.
Penubuhan Malayan Union dikaitkan dengan perubahan mendadak kepada orang Melayu yang mula memikirkan cara untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajah setelah kesengsaraan dialami semasa pemerintahan Jepun. Oleh itu Malayan Union dirangka untuk memastikan rakyat tempatan bekerjasama dengan pentadbiran British. British juga mahu pendatang asing bekerjasama membangunkan ekonomi Tanah Melayu dan diberi taraf kerakyatan yang sama.

Undang-undang Malayan Union juga mencadangkan taraf kewarganegaraan yang dinamakan sebagai ‘jus soli’ juga ditentang. Oleh yang demikian Malayan Union telah ditentang oleh seluruh penduduk Tanah Melayu terutama sekali orang Melayu.
Sultan-sultan Melayu masih mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa berkaitan tentang agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya, pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Walau bagaimanapun, bagi Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran.
Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Kewarganegaraan diberikan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942.

Orang Melayu berpendapat perlembagaan Malayan Union adalah tidak sah kerana mendapatkan persetujuan sultan secara paksaan, Sultan-sultan tidak diberi peluang untuk bermesyuarat dan membincangkan tentang Malayan Union dengan pembesar-pembesar mereka terlebih dahulu.

Secara keseluruhan, Malayan Union gagal dilaksanakan kerana mendapat tentangan yang hebat daripada orang Melayu dan tidak mendapat sokongan daripada orang Cina dan India. Pegawai-pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu juga turut menentang penubuhan Malayan Union. Oleh yang demikian, orang Melayu telah menubuhkan UMNO.

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Ia disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Kedua diadakan di Istana Besar, Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato’ Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Pada masa ini Tunku Abdul Rahman terus menjadi ahli UMNO dan memainkan peranannya menentang gagasan Malayan Union.
Tujuan UMNO ditubuhkan adalah untuk menyatukan orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union dan memelihara kepentingan, memajukan dan memperbaiki keadaan hidup orang Melayu. Dalam proses menentang Malayan Union, UMNO telah bergerak ke seluruh negara untuk berkempen menentang pertubuhan gagasan Inggeris itu.

Pergerakan Wanita UMNO pula ditubuhkan pada 1947 dengan tokoh penting seperti Datin Puteh Mariah bt Abdul Rashid daripada Persatuan Melayu Perak. Ketua Pemuda UMNO pula dipimpin oleh Dato’ Harun Idris (kiri).

Pada masa yang singkat, UMNO telah muncul sebagai sebuah parti politik berhaluan kanan terbesar yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Dato’ Onn kemudian berhasrat membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu. Pendapatnya ini telah ditentang oleh orang Melayu menyebabkan beliau meninggalkan UMNO dan membuka Parti Kemerdekaan Malaya dan kemudian Parti Negara. Tunku Abdul Rahman telah dilantik menjadi Presiden UMNO pada 1951.

Hasil daripada penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union dan kemudian membawa penubuhan UMNO, maka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pula diisytiharkan.
Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini merupakan langkah untuk bertolak ansur bagi menjaga hubungan baik antara kaum dan mengukuhkan pentadbiran negara. Namun, sseetengah pihak mengatakan bahawa perlembagaan Persekutuan 1948 ini menyekat hak-hak dan peluang kaum Cina untuk terlibat dalam politik dan pentadbiran di negara ini. Kesempatan ini telah diambil oleh Parti Komunis Malaya (PKM) untuk mengapi-apikan orang Cina bagi menentang Perlembagaan Persekutuan 1948 dan menyokong PKM. Mereka memulakan pemberontakan pada Jun 1948. Dengan ini darurat bermula di Tanah Melayu.
Darurat berlangsung di Tanah Melayu yang diisytiharkan oleh kerajaan British di Malaya dari tahun 1948 hingga 1960.

Ketika darurat, kira-kira 40 000 tentera termasuk beberapa rejimen askar Melayu telah dikerah untuk menghapuskan anasir komunis termasuk bantuan daripada tentera negara-negara Komanwel. Mereka dilengkapkan dengan peralatan kelengkapan perang, seperti meriam, kapal terbang, dan kapal laut.
Kad Pengenalan Tunku Abdul Rahman Semasa Darurat

Perintah berkurung telah dibuat di kawasan yang telah mempunyai pengaruh komunis. Kad Pengenalan diwajibkan supaya mereka boleh menangkap sesiapa sahaja yang tidak ada kad pengenalan. Kerajaan British telah mewajibkan semua penduduk Tanah Melayu membuat kad pengenalan sebaik sahaja mereka berumur 12 tahun. Tunku Abdul Rahman mendaftar sebagai orang yang pertama.
Sir Harold Briggs juga melancarkan rancangannya (Rancangan Briggs) untuk membanteras komunis. Rancangannya adalah termasuk penempatan semula orang Cina. Ini kerana, sebahagian besar daripada ahli PKM adalah orang Cina. Kampung Baru telah dibina di bahagian kawasan baru yang dipilih untuk menempatkan orang Cina.

Rancangan Briggs merupakan tindakan oleh kerajaan jajahan British untuk menyekat bekalan makanan serta ubat-ubatan daripada Parti Komunis Malaya yang pada masa itu berniat menguasai Persekutuan.
Antara langkah yang diambil untuk menamatkan darurat ialah membuat rundingan dengan PKM. Perundingan Damai Baling ini merupakan perundingan antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Rundingan ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955.

Rombongan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, David Marshall dan Hamid Jumat sementara rombongan PKM terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Undang-undang darurat tamat pada 31 Julai 1960. Antara langkah yang diambil oleh Tunku Abdul Rahman untuk menyatukan semula kaum kesan daripada darurat ialah Pembentukan Malaysia.
Langkah untuk menyatupadukan kaum juga telah dibuat oleh UMNO, iaitu dengan gabungan MCA (dipimpin oleh Tan Cheng Lock), UMNO (dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman), serta MIC (dipimpin oleh E. E. C. Turaisingham), tetapi langkah ini kurang berkesan dengan berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini membawa kepada pembentukan jawatankuasa Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan Rukun Negara.
Pada tahun 1955, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada ketika itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS di kawasan Kerian, Perak.Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Kemenangan Perikatan kerana motto ‘Menuju ke Arah Kemerdekaan’ sebagai manifesto parti yang menjanjikan pemerintahan demokrasi berparlimen, menjadikan bahasa kebangsaan yang tunggal iaitu bahasa Melayu, melindungi dan mengekalkan institusi raja, meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu, menamatkan darurat dengan segera dan menjamin sistem pendidikan kebangsaan yang kemas dan teratur.
Hasil kemenangan dalam pilihan raya 1955, Perikatan meneruskan desakan untuk mempercepatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Pada Januari 1956, satu rombongan terdiri daripada lapan orang wakil berangkat ke London. Rundingan kemerdekaan ini diadakan pada 18 Januari hingga 5 Februari 1956 di London. Delegasi PERIKATAN diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Kolonel H. S. Lee dan Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman. Rundingan ini berlangsung selama 21 hari. Kelancaran perundingan ini berlangsung kerana wujudnya hubungan baik antara Tunku Abdul Rahman dengan Setiausaha Tanah Jajahan British di London. Lantaran itulah delegasi ini dilayan dengan baik serta rundingan awal kemerdekaan mendapat respon yang menggalakkan.
British berjanji untuk memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. British mendapat hak menempatkan tenteranya di negara ini sebagai sebuah negara Komanwel.

Sebuah badan bebas untuk menggubal perlembagaan Tanah Melayu ditubuhkan yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh Lord Reid dan Ivor Jennings. Suruhanjaya ini telah mencadangkan sebuah perlembagaan berdasarkan demokrasi berparlimen.
Sewaktu bendera British diturunkan di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan 31 Ogos 1957, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak “Merdeka!”. Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat menjadi lambang kemerdekaan Malaysia yang dapat dilihat dalam banyak media.
Kabinet Pertama

Selepas kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia dan memimpin Parti Perikatan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.
Pada tahun 1961, Tunku juga menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang mengumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina.Pertubuhan ini kemudiannya digantikan dengan pertubuhan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967 yang dianggotai oleh lima negara semasa persidangan di Bangkok.

Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara pada tahun 29 Mei 1961 di Singapura. Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman ini kemudiannya mendapat sambutan yang menggalakkan dan seterusnya mendapat liputan akhbar-akhbar dalam dan luar negara dengan meluasnya. Bukan setakat itu sahaja, ia juga diikuti dengan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Setiakawan ‘Melayu Raya’ yang dianggotai oleh negeri-negeri seperti Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei yang dipengerusikan oleh Donald Stephens.

Malah dalam cadangan gagasan ‘Melayu Raya’ ini turut menegaskan dan menerima pakai kerakyatan Persekutuan ‘Melayu Raya’. Mereka berpendapat bahawa gagasan Malaysia itu tidak menepati konsep Melayu Raya yang diperjuangkan oleh mereka sebelum merdeka dahulu. Bagi memperkasakan bangsa Melayu, konsep ‘Melayu Raya’ mestilah dihidupkan kembali. Dr. Burhanuddin Helmi telah menyarankan agar Tunku Abdul Rahman memasukkan Filipina dan Indonesia dalam gagasan Malaysia dan Tunku hendaklah terlebih dahulu membincangkannya dengan pemimpin Indonesia dan Filipina.
Setelah melalui satu proses perbahasan yang panjang iaitu hampir dua tahun, beliau terpaksa pula menempuh tragedi konfrontasi dengan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Soekarno. Kemudian, terpaksa pula berhadapan dengan kerenah politik Filipina yang dipimpin oleh Presiden Macapagal. Kematangan berpolitik yang dimiliki oleh Tunku Abdul Rahman berjaya mengatasi masalah ini dengan sebaik mungkin. Pembentukan Malaysia hanya dapat direalisasikan secara rasmi pada 16 September 1963. Kejayaan ini turut membuktikan bahawa Tunku Abdul Rahman adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh serta mengetahui waktu bila konsep perjuangan sebegini boleh diadaptasikan ke dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan kemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir 40%. UMNO dan MCA berasa tegang terhadap ancaman Parti Tindakan Rakyat (PAP) kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan cuba membentuk sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee Kuan Yew di sana. Sebagai gerak balas, Lee Kuan Yew mengancam bahawa PAP mahu menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Singapura secara rasmi berpisah dengan Malaysia dan mencapai kemerdekaan.
Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan amat berkurangan berbanding dengan pilihan raya sebelumnya. Pada 13 Mei 1969, rusuhan kaum tercetus di Kuala Lumpur ekoran daripada tunjuk perasaan orang ramai selepas pilihan raya umum itu. Oleh itu majlis MAGERAN ditubuhkan untuk mengatasi masalah tersebut.

Pada 22 September 1970, Tunku Abdul Rahman terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas rusuhan tersebut. Beliau berasa bertanggungjawab di atas kegagalan kerajaannya gagal mengatasi masalah perkauman tersebut. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971. Tempatnya diambil alih oleh Tun Abdul Razak.
Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.

Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama, yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.
Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden Majlis Da’wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.
Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star.

3 ulasan:

  1. Memang ceriteranya berkisar kepada sejarah yang mahu dipertonton dan diperdengarkan bukan kisah sebenar, fakta yang berselindung tentang kemerdekaan yang masih tersirat dan enggan dibuka daripada fakta yang sebenar dan sejarah sapertimana yang berlaku bukanlah saperti ini. kaji kembali sejarah. lakukan forensic study on historical revisionalism on malaya. then the facts will open your eyes.

    BalasPadam
  2. wah memang menajubkan lah tunku abdul rahman ni,nak baca lgi lah bye

    BalasPadam
  3. Betulkah Tunku aa anak hasil perkahwinannya dengan Violet Coulson?

    BalasPadam